SMS DEEN lancar syiling emas edisi khas Syiling Emas Visit Malaysia 2026, sokong aspirasi pelancongan negara

KUALA LUMPUR 14 Jan – SMS DEEN Jewellers melancarkan Syiling Emas Edisi Khas Visit Malaysia 2026 sebagai sokongan sektor swasta terhadap aspirasi nasional untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, dan turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), rakan media serta jemputan kehormat.

Syiling emas berkenaan merupakan sebahagian daripada Golden Heritage Series keluaran SMS DEEN dan diperbuat daripada emas tulen 999.9 (24 karat).

Rekaan syiling menampilkan lapan Memori Emas Malaysia yang melambangkan elemen warisan teras negara merangkumi nilai, budaya, biodiversiti serta identiti nasional yang membentuk jiwa Malaysia, selari dengan visi Visit Malaysia 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif SMS DEEN, Mohamad Shaifudeen berkata, inisiatif itu mencerminkan peranan dan tanggungjawab sektor swasta dalam menyokong agenda nasional.

“Visit Malaysia 2026 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya satu visi nasional untuk membawa Malaysia kembali ke peta dunia. Sebagai syarikat tempatan, kami melihat usaha ini sebagai tanggungjawab bersama untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada negara,” katanya.

Pelancaran syiling emas itu turut membawa simbolik bersejarah apabila menghubungkan naratif pelancongan negara daripada Wira, maskot orang utan Sukan Komanwel 1998, kepada Wira dan Manja, maskot rasmi Visit Malaysia 2026 yang diinspirasikan daripada beruang matahari Malaya.

Wira dan Manja, sebagai spesies unik dan terancam, melambangkan kekayaan biodiversiti Malaysia serta komitmen negara terhadap pemuliharaan alam sekitar. Busana batik yang digayakan maskot itu pula mencerminkan keharmonian budaya dan warisan seni Malaysia, sejajar dengan mesej “Malaysia Truly Asia”.

Majlis turut dihadiri Pengarah Kumpulan SMS DEEN, Datuk Sirajudeen, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh peranan jenama tempatan dalam agenda nasional.

Syiling Emas Edisi Khas Visit Malaysia 2026 akan ditawarkan di semua cawangan SMS DEEN Jewellers di seluruh negara serta menerusi platform TikTok Yellow Bag, sebagai cenderamata bernilai dan simbol kenangan sempena kempen Visit Malaysia 2026. – Media Telus

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13573

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *