Velodrom Rakyat kritikal, ‘nyawa-nyawa ikan’

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memohon campur tangan segera daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak yang kini disifatkan sebagai kritikal, tidak selamat dan berbahaya digunakan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill meluahkan kekecewaan terhadap birokrasi dan tindakan saling menuding jari yang menyebabkan fasiliti ikonik itu terbiar sepi tanpa sebarang aktiviti perlumbaan atau latihan selama lebih setahun.

Menurutnya, ketiadaan bumbung menjadi punca utama kerosakan berulang pada permukaan trek kayu akibat terdedah kepada cuaca panas dan hujan, menjadikan ia berisiko tinggi kepada keselamatan pelumba selain kerugian kepada pembangunan sukan berbasikal trek.

“Status terkini Velodrom Rakyat amat menyedihkan. Ia tidak selamat dan berbahaya. Sudah lebih setahun ia tidak digunakan.

“Kami telah banyak kali bawa isu ini kepada pihak KBS sebelum ini, namun tiada pergerakan positif seperti diharapkan. Kita mahu membangunkan sukan berbasikal trek, tetapi fasiliti sedia ada dibiarkan reput tanpa tindakan susulan,” katanya.

Amarjit turut mendedahkan peluang untuk menyelesaikan masalah itu terlepas semasa proses pembaikkan semula velodrom itu pada 2015 bagi kegunaan Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Jelasnya, PKBM telah menasihatkan agar bumbung dipasang, namun cadangan itu tidak dipandang serius oleh pihak berwajib.

“Jika mereka peruntukkan sedikit bajet untuk bumbung ketika itu, kita tidak akan hadapi masalah ini hari ini. Lihat Velodrom Nasional di Nilai, selepas 10 tahun hanya perlukan penyelenggaraan minimum kerana ia terlindung dari cuaca,” tambahnya.

Tambahnya, pemulihan Velodrom Rakyat amat kritikal untuk menampung keperluan atlet dari zon utara terutamanya Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang giat melahirkan pelumba junior berbakat.

“Latihan di Velodrom Nilai kini sudah terlalu padat. Pasukan kebangsaan, MSN dan negeri-negeri lain berebut slot latihan. Jika Velodrom Rakyat berfungsi, ia boleh menjadi hab latihan zon utara dan mengurangkan kesesakan di Nilai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amarjit turut menggesa agar isu pemilikan tanah dan bangunan antara Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diselesaikan segera dan tidak dijadikan alasan untuk lepas tangan.

“Jangan jadikan alasan ‘siapa punya tanah’ atau ‘siapa punya bangunan’ untuk tidak berbuat apa-apa. Tanah milik negeri, bangunan mungkin milik pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi akhirnya ia adalah aset negara yang perlu dijaga.

“Kami telah menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan yang baharu dan berharap beliau dapat turun padang melihat sendiri keadaan daif di sana. Ini adalah perkara yang perlu dipertimbangkan,” ujarnya.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/14/velodrom-rakyat-kritikal-nyawa-nyawa-ikan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *