PETALING JAYA – Pelakon Mia Sara Nasuha meluahkan kekecewaannya apabila sering ditawarkan watak kanak-kanak walaupun usianya kini sudah mencecah 21 tahun.
Luah Mia atau nama lengkapnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 21, situasi tersebut mendorongnya untuk cuba mengubah persepsi segelintir pihak industri yang masih menganggap dirinya sebagai pelakon cilik.
“Usia saya sudah 21 tahun, bukan lagi seorang budak. Saya mahu buang imej kanak-kanak itu, ubah perspektif orang yang masih menganggap saya ini pelakon cilik.
“Sebenarnya saya penat apabila asyik dianggap sebagai kanak-kanak walhal saya sudah dewasa.
“Sampai bila orang mahu menganggap saya ini budak kecil? Saya letih kerana diri saya ini tidak dipandang serius,” katanya kepada Kosmo! Online sambil menitiskan air mata.
Pada masa sama, pelakon filem Papa I Love You mengakui imej tersebut menyebabkan dirinya tidak menerima peluang melakonkan watak dewasa.
“Orang tak pandang serius bila kita ini dianggap budak. Pandangan kita tidak didengar, tak ada siapa yang kisah tentang perasaan kita.
“Orang tidak pandang potensi sebenar saya, mereka tak kisah pun pasal kemampuan saya. Disebabkan itu, saya tak diberikan peluang,” ujarnya lagi.
Lebih menyedihkan, Mia mendedahkan tekanan tersebut memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya sejak berusia 15 tahun.
“Terus terang saya katakan, keadaan ini membuatkan mental saya terganggu. Saya berperang dengan masalah ini sejak usia saya 15 tahun.
“Saya harap penerbit dapat melihat yang saya ini mampu membawa watak lain, watak dewasa. Saya tidak mahu asyik ditawarkan watak budak sekolah,” tuturnya.
Bagaimanapun, Mia tidak menolak sepenuhnya watak pelajar sekolah tetapi mengharapkan peluang yang lebih seiring dengan kematangan usianya.
“Jangan salah faham. Saya seronok berlakon dan gembira menerima watak budak sekolah.
“Tetapi keadaan sudah berubah, tiba masanya untuk saya menukar haluan. Saya tak boleh selamanya menjadi kanak-kanak.
“Namun, amat mengecewakan apabila saya masih terperangkap dalam persepsi orang yang masih memandang saya ini sebagai kanak-kanak sedangkan saya sudah dewasa. Sampai bila?,” katanya lagi selepas majlis apresiasi drama TikTok FYP Macam VIP, semalam.
Dalam perkembangan lain, Mia terlibat dalam drama TikTok berjudul FYP Macam VIP bersama barisan bintang lain seperti Rykarl Iskandar, Zaki Yamani dan Serra Kamal. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/15/saya-dah-dewasa-penat-masih-dianggap-budak-budak/

Leave a Reply