KUANTAN 16 Jan – Dua pegawai dan lima anggota polis yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Mentakab, Temerloh akan digantung kerja sementara sehingga proses perundangan terhadap mereka selesai.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu telah dihadapkan ke mahkamah pada minggu lalu dan kini sedang melalui proses tindakan pentadbiran.
“Kesemua mereka sedang dalam proses dikenakan tindakan gantung kerja sementara menunggu keputusan kes mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau turut meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan menegaskan pihak polis telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang disyaki terlibat.
Sebelum ini, media melaporkan dua pegawai berpangkat Inspektor serta lima anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan dalam satu serbuan kira-kira jam 2.15 pagi pada 3 Januari lalu.
Hasil saringan awal air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13588

Leave a Reply