Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh susulan keputusan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Melaka.
Menerusi satu hantaran ringkas, Afnan memuji prinsip yang ditunjukkan Dr Akmal serta menyatakan sokongan moral terhadap keputusan berkenaan.
Beliau turut menegaskan solidariti perjuangan antara kedua-dua tokoh sayap pemuda itu dengan menyebut komitmen bersama untuk menentang DAP, diakhiri dengan ungkapan “You Never Walk Alone”.
“Tahniah brother atas prinsip! Kita sama-sama lawan DAP! You Never Walk Alone,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Dr Mohamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai EXCO Melaka yang akan berkuat kuasa mulai minggu hadapan. Beliau sebelum ini memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka sejak April 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu membuat pengumuman berkenaan ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Walau bagaimanapun, Dr Akmal menegaskan bahawa beliau akan terus kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan meneruskan peranan serta perjuangannya dalam sayap parti berkenaan.
🔗 Source: https://thereporter.my/you-never-walk-alone-kita-sama-ama-lawan-dap-afnan/

Leave a Reply