KUALA LUMPUR 16 Jan – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembekuan sementara keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikaitkan dengan isu rasuah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya kini sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berkaitan arahan tersebut sebelum meneliti perincian pelaksanaannya.
Menurut beliau, MINDEF akan memastikan pelaksanaan arahan itu selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan serta perundangan yang sedang berkuat kuasa.
“Dalam meneliti perkara ini, kementerian perlu memberi pertimbangan serius terhadap keperluan memastikan tahap kesiapsiagaan serta kelangsungan operasi pertahanan negara terus terpelihara dan tidak terjejas.
“Pada masa sama, kementerian akan menilai secara mendalam kesan keputusan ini terhadap pelaksanaan perolehan sedia ada, termasuk kontrak yang telah dimeterai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MINDEF turut mengambil kira obligasi kontrak sedia ada, keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara secara menyeluruh dalam membuat sebarang pertimbangan lanjut.
Tambah Mohamed Khaled, kementerian juga sedang meneliti langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan, seperti yang diumumkan sebelum ini.
Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata semua keputusan perolehan melibatkan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan yang dikaitkan dengan isu rasuah dibekukan sementara oleh kerajaan.
Menurut Anwar, pembekuan itu akan dilaksanakan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, selain kerajaan akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas kenyataan yang sangat jelas berhubung perkara ini.
“Kita akan menunggu laporan untuk meneliti sebarang kelompangan atau kelemahan dalam sistem perolehan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, hari ini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13626

Leave a Reply