Padang Merbok kini dibuka sepenuhnya kepada orang awam, sekali gus mengembalikan akses rakyat kepada ruang hijau bersejarah di tengah ibu kota yang menjadi lokasi rekreasi, sukan dan aktiviti komuniti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerajaan komited memastikan padang itu terus dipelihara sebagai ruang awam yang inklusif, selamat dan selesa untuk semua.
“Kawasan ini telah dipagari sekitar Ogos 2022 di bawah pentadbiran terdahulu, Perikatan Nasional dan pagar tersebut telah diturunkan sepenuhnya pada 14 Januari 2026.
“Kerajaan MADANI komited membetulkan perkara yang tidak wajar dan langkah ini dimulakan dengan mengembalikan Padang Merbok kepada pemilik sebenar iaitu rakyat.
“Sejak generasi ke generasi, Padang Merbok merupakan sebahagian penting daripada kehidupan Kuala Lumpur, berfungsi sebagai lokasi sukan, rekreasi dan perhimpunan aman. Penutupan berpanjangan sebelum ini telah menafikan rakyat daripada menggunakan ruang awam yang signifikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hannah bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, turun padang meninjau keadaan padang termasuk kemudahan sedia ada, aspek keselamatan, akses serta kesesuaian penggunaannya oleh orang awam.
Terletak berhampiran Dataran Merdeka dan Parlimen, Hannah menyatakan padang ini mempunyai nilai sejarah dan nasional yang tersendiri serta menjadi titik pertemuan antara kehidupan komuniti dan ekspresi demokrasi.
“Melalui usaha memulihkan padang bersejarah ini, kerajaan menyediakan lokasi yang lebih selamat dan mudah diakses untuk rakyat berkumpul, di samping mengurangkan kesesakan dan melindungi kawasan warisan berhampiran,” katanya.
“Ruang awam mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk kuasa. Padang Merbok kini dibuka semula dan tepat di tempat yang sepatutnya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka semula laluan masuk ke Padang Merbok bagi membolehkan orang ramai menggunakan kemudahan taman itu sebagai ruang rekreasi bersama keluarga dan komuniti.
🔗 Source: https://thereporter.my/padang-merbok-dibuka-semula-ruang-awam-kembali-untuk-rakyat/

Leave a Reply