Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri menawarkan peluang kepada wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan untuk turut serta dalam misi sukarelawan Global Sumud Flotilla 2 yang dijangka berlangsung pada suku pertama tahun 2026.
Menurut Nadir, tawaran itu dibuat bagi memberi peluang kepada pihak terlibat memahami sendiri keperitan sebenar yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza.
“Saya mewakili Sumud Nusantara Official menyediakan satu kerusi khas untuk Rex Tan menaiki bot ke Gaza bagi mengenali keperitan sebenar mereka di sana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kenyataan itu hadir susulan kontroversi yang tercetus dalam sebuah program berkaitan Gaza yang turut menampilkan ahli politik dan aktivis terkenal Britain, George Galloway.
Dalam syarahan umum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang berlangsung baru-baru ini, Galloway menegaskan bahawa rakyat Palestin merupakan antara golongan paling ditindas di dunia dan situasi di Malaysia sama sekali tidak boleh disamakan dengan realiti pahit yang dialami rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan kontroversi daripada seorang wartawan portal berita tempatan, sambil menolak perbandingan antara perjuangan rakyat Palestin dengan situasi komuniti Cina di Malaysia.
Menurut Galloway, perbandingan sedemikian adalah tidak tepat, keterlaluan serta gagal mencerminkan realiti sebenar masyarakat Malaysia.
Klip video kenyataan Galloway itu kemudiannya tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Susulan perkara berkenaan, Rex Tan tampil memohon maaf secara terbuka atas soalan yang dikemukakannya semasa wacana awam tersebut yang berlangsung pada 12 Januari lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau mengakui soalan itu tidak mengambil kira kesesuaian konteks majlis serta gagal mempertimbangkan sensitiviti isu yang dibincangkan, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyatakan kekesalan apabila soalan tersebut menyentuh hubungan antara kaum Cina dan Melayu, yang disifatkannya sebagai tidak perlu dan tidak sepatutnya dibangkitkan dalam wacana berkaitan isu kemanusiaan di Gaza.
Dalam pada itu, tinjauan di ruangan komen hantaran Nadir Al-Nuri mendapati ramai netizen yang menyokong cadangan tersebut.
🔗 Source: https://thereporter.my/satu-kerusi-khas-buat-rex-tan-naiki-bot-ke-gaza-nadir-al-nuri/

Leave a Reply