Tiada pemilihan UMNO tahun ini, ditangguh sehingga selepas PRU16 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 16 Jan – UMNO memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini, dengan proses berkenaan hanya akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) sempena Penganjuran Ekspo Agrikomoditi Women in Halal Industri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan sama ada dua jawatan tertinggi parti akan dipertandingkan turut hanya akan diputuskan selepas PRU16.

Menurutnya, penangguhan pemilihan itu adalah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan UMNO yang telah dipinda sebelum ini.

“Kita tunggu selepas pilihan raya okay… kita ada tempoh 18 bulan.

“Perlembagaan UMNO telah dipinda iaitu selepas 18 bulan daripada tarikh akhir tahun pemilihan atau selepas pilihan raya (umum)… mana-mana yang dulu,” katanya.

Sebelum ini, terdapat pemimpin UMNO di peringkat cawangan yang mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti supaya Pemilihan UMNO 2026 tidak ditangguhkan.

Ahmad Zahid juga sebelum ini pernah menyatakan beliau terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan UMNO ketika ini adalah untuk mengukuhkan parti terlebih dahulu berbanding memikirkan soal pemilihan dan jawatan tertinggi parti.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13625

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *