Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan pihak polis awal pagi ini susulan kontroversi yang tercetus daripada satu soalan yang dikemukakannya dalam sebuah forum awam, Isnin lalu.
Berdasarkan laporan FMT, Tan yang telah meletakkan jawatan daripada portal berita berkenaan semalam, ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.
Peguamnya, Rajsurian Pillai, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan Tan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dengan siasatan dikendalikan oleh Bukit Aman.
Kontroversi tersebut tercetus dalam sebuah forum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan George Galloway, ahli politik dari Britain.
Susulan reaksi negatif serta kecaman meluas di media sosial, Tan kemudiannya tampil memohon maaf secara terbuka, mengakui soalan berkenaan disampaikan tanpa susunan yang jelas serta gagal mengambil kira sensitiviti isu yang dibincangkan.
Beliau turut menyatakan kekesalan kerana menyentuh aspek hubungan antara kaum Cina dan Melayu, yang menurutnya langsung tidak relevan dan tidak wajar dibangkitkan dalam wacana tersebut.
Tan juga mengakui tindakannya tidak mencerminkan tahap profesionalisme seorang wartawan, selain merayu orang ramai agar tidak mengaitkan atau menyerang FMT Media serta ahli keluarganya susulan insiden itu.
Dalam penjelasannya, beliau menegaskan tidak pernah berniat menyamakan kedudukan masyarakat Cina di Malaysia dengan penderitaan rakyat Palestin, serta tidak menggunakan istilah “aparteid” ketika mengemukakan soalan tersebut.
Perkara itu, katanya, turut dijelaskan semula apabila beliau diberi peluang kedua untuk bercakap, dengan menegaskan bahawa perbandingan sedemikian adalah tidak munasabah dan bukan niat asalnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran, menyifatkan penahanan Tan sebagai tindakan berlebihan meskipun mengakui kesilapan telah dilakukan.
Menurutnya, Tan telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam siasatan dan penahanan tidak sepatutnya berlaku, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai bersifat menghukum.
FMT dalam satu kenyataan berasingan turut memohon maaf dan menjelaskan pihak pengurusan tidak dimaklumkan lebih awal mengenai soalan yang ingin dikemukakan, serta tidak menyokong kenyataan terbabit.
🔗 Source: https://thereporter.my/bekas-wartawan-fmt-rex-tan-ditahan-susulan-soalan-kontroversi/

Leave a Reply