PORT DICKSON – Seorang remaja perempuan dimasukkan ke hospital selepas terkena sengatan ubur-ubur dalam kejadian kali pertama selepas 13 tahun ketika mandi-manda di Pantai Cahaya Negeri, di sini kelmarin.
Ibu mangsa, Nurul Diyana Mohamed, 40, berkata, ketika kejadian pukul 4.50 petang, dia yang sudah biasa dengan pantai itu datang untuk beriadah sambil membawa tiga anaknya yang berusia tujuh hingga 13 tahun serta seorang anak jiran.
Katanya, dia terkejut apabila anak sulungnya, Nurul Hana Damiya’ Mohd. Othman, 13, datang ke arahnya dalam keadaan panik selepas terpegang suatu objek. “Mungkin selepas ombak datang, ubur-ubur terlanggar kaki kanannya. Anak ingat ketam dan terpegang objek itu. Kes ubur-ubur jarang berlaku di pantai ini berbanding di utara (Kedah dan Pulau Pinang).
“Saya segera membawanya ke hospital. Sewaktu dalam perjalanan anak menjerit mungkin berasa panas dan perit. Alhamdulillah, pegawai perubatan segera memberikan bantuan dengan membilas cuka. Saya ternampak tentakel ubur-ubur pada seluar anak.
“Terdapat kesan cedera pada tangan dan kaki kanan anak. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana anak memakai seluar panjang sekali gus mengurangkan risiko kecederaan lebih serius,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.
Ujar Nurul Diyana, anaknya berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar hospital semalam.
“Saya harap pengunjung dapat mengambil langkah berjaga-jaga membawa cuka ketika mandi di pantai. Kalau nak mandi pakai pakaian lengkap dan menutup bahagian kaki. Pantai Port Dickson cantik, namun kejadian ini membahayakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe mengesahkan terdapat satu kes sengatan ubur-ubur diterima pihak Hospital Port Dickson kelmarin.
“Kejadian serangan ubur-ubur di pantai peranginan itu terkawal memandangkan dalam tempoh lima tahun ini, tiada kes membabitkan hidupan laut tersebut.
“Mengikut rekod, laporan sengatan ubur-ubur di Port Dickson pernah direkodkan pada 2013 iaitu 13 tahun lalu.
“Oleh itu, jika berlaku kejadian ini, langkah awal yang perlu diambil ialah keluar dari laut dan bilas kawasan terkena sengatan dengan cuka selama 30 saat,” katanya.
Tambahnya, mangsa juga dinasihatkan untuk segera ke hospital atau klinik berdekatan, selain sentiasa memerhati tanda-tanda kehadiran ubur-ubur di permukaan air atau di tepi pantai. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/17/dia-jerit-panas-perit/

Leave a Reply