Harimau Malaya sedia guna bakat muda

HARIMAU Malaya tekad menggunakan saingan Piala ASEAN 2026 sebagai platform terbaik untuk membentuk kekuatan pasukan dengan memberi pendedahan buat para pemain pelapis menjelang sepak mula kejohanan berlangsung pada Julai depan.

Pandangan itu disuarakan pengendali skuad negara, Peter Cklamovski disebabkan saingan bola sepak berprestij bola sepak Asia Tenggara itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kata Cklamovski, kesempatan kali ini membuka ruang terbaik buat barisan kejurulatihan memperkukuh struktur pasukan selain menilai program pembangunan negara dengan memberi pendedahan antarabangsa buat pemain yang sedang meningkat naik.

“Piala ASEAN memberi peluang pembangunan yang sangat penting buat skuad kebangsaan kerana ia dianjurkan di luar kalendar FIFA.

“Justeru, kami boleh boleh memberi fokus untuk memantapkan pasukan selain membuka ruang kepada pemain baharu untuk merasai kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Saingan kali ini juga sebagai landasan terbaik supaya pasukan lebih bersedia mengharungi kejohanan lebih besar pada masa depan termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya.

Jodoh Harimau Malaya dengan seteru tradisi, Thailand cukup kuat apabila sekali lagi diundi dalam Kumpulan B Piala ASEAN serta tiga lagi negara lain seperti Filipina, Myanmar dan Laos.

Juara bertahan, Vietnam pula diundi bersama Singapura, Indonesia, Kemboja dan pemenang playoff antara Brunei dan Timor Leste dalam Kumpulan A pada sesi undian di Jakarta kelmarin.

Cklamovski pastinya berdepan tekanan hebat apabila menggalas harapan untuk menamatkan penantian 16 tahun selepas kali terakhir bergelar juara ‘Asia Tenggara’ pada edisi 2010.

Pada edisi 2024, skuad negara yang ketika itu dibimbing oleh Pau Marti Vicente terkandas di peringkat kumpulan dengan Thailand dan Singapura lolos ke separuh akhir.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/17/harimau-malaya-sedia-guna-bakat-muda/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *