MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menggunakan sentimen sejarah dalam usaha menaikkan semangat pasukan untuk memburu kemenangan ke atas Manchester City di Stadium Old Trafford buat kali pertama sejak 2023.
Menurut laporan, Carrick yang dilantik sebagai pengendali United bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Ruben Amorim menjadikan aksi 2018 ketika menewaskan City 3-2 sebagai contoh keputusan derbi terbaik.
Pada perlawanan itu, United yang dikendalikan oleh Jose Mourinho ketika itu ketinggalan 0-2 kepada skuad The Citizens sebelum bangkit menewaskan seteru tradisi tersebut dengan menjaringkan tiga gol dalam babak kedua.
Justeru, Carrick menyeru agar barisan pemain tidak gentar untuk mengharungi perlawanan derbi kerana tiada apa yang mustahil.
“Ini adalah perlawanan besar yang kita semua nantikan dan sebab kita berada di sini. Saya percaya kita sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan getir ini dengan memberi tentangan sengit.
“Apa yang penting, saya tidak mahu pemain mengalah sebelum berjuang kerana masih banyak perlawanan yang perlu kita harungi musim ini.
“Kita perlu kembali berada di landasan kemenangan demi penyokong setia kami,” katanya.
United kini berada pada tahap terbaik selepas beberapa pemain utama seperti Harry Maguire, Bryan Mbeumo dan Amad Diallo sudah kembali menyertai skuad utama dan tiada masalah untuk diturunkan. – AGENSI
🔗 Source: http://kosmo.com.my/2026/01/17/united-yakin-menang-derbi-manchester/

Leave a Reply