Pihak agensi sedaya upaya cari Allahyarham Nadia Kesuma

PETALING JAYA – Agensi pelancongan, Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. menjelaskan, pihaknya berusaha sedaya upaya sepanjang tempoh pencarian pelakon Allahyarham Nadia Kesuma yang sebelum ini dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Menerusi kenyataan agensi tersebut, usaha dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak berautoriti dan pihak Nuh menghargai sokongan serta bantuan diberikan oleh Wisma Putra, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan semua pihak terlibat.

Katanya, pemergian Allahyarham amat mengejutkan dan memberi kesan besar kepada pihak keluarga, kenalan terdekat, serta Nuh Travel.

“Pihak Nuh Travel merakamkan ucapan takziah setulusnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Kami mendoakan agar keluarga diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Sesungguhnya kami amat berdukacita dengan pemergian ini dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pengurusan dan perkara-perkara berkaitan yang diperlukan dalam proses ini,” kata Nuh Travel hari ini.

Dalam pada itu, Nuh Travel memohon agar orang ramai menghormati privasi keluarga Allahyarham serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menambahkan kesedihan pihak terlibat.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Kosmo! melaporkan, tanda tanya mengenai kehilangan pelakon Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah terungkai apabila wanita itu dilaporkan sudah meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Perkara itu disahkan anak perempuannya, menerusi Threads sebentar tadi apabila memaklumkan yang ibunya meninggal akibat sakit jantung.

Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.

Nadia antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan bermula dari 14 hingga 28 Januari ini. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/18/pihak-agensi-sedaya-upaya-cari-allahyarham-nadia-kesuma/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *