Pan-gon temui formula terbaik

PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui sudah ada formula terbaik untuk pulihkan reputasi Gergasi Merah dengan membina ‘DNA’ bola sepak menyerang berteraskan kekuatan, keberanian dan kepantasan.

Sebagai rekod, aura Pan-gon semakin dirasai dalam kem Gergasi Merah yang kini memburu kemenangan ketiga berturut-turut menjelang aksi Piala Malaysia bertemu Kelantan The Real Warriors (KTRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pan-gon yang dilantik secara rasmi pada 5 Januari lepas percaya asas DNA yang kukuh cukup penting untuk mencipta mentaliti baharu buat barisan pemain sekali gus memberi rasa bangga buat penyokong setia.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, barisan kejurulatihan masih perlukan masa untuk kenal pasti kekuatan serta kelemahan barisan pemain sebelum dapat serasi sepenuhnya.

“Saya percaya perjalanan kami masih jauh, tetapi saya dapat lihat reaksi semua pemain sangat bagus. Mereka ada keyakinan (untuk menjadi lebih baik) dan ini adalah perkembangan yang cukup positif.

“Sudah tentu kita ada sasaran yang jelas untuk diraih kerana kami cuba membangunkan bola sepak cara Selangor dengan membina DNA kami sendiri.

“Apa yang penting, saya harap pasukan dapat kekal konsisten pamerkan prestasi terbaik dan berkualiti buat penyokong. Pasukan perlu tampilkan bola sepak yang menarik, dinamik, pantas dan bertenaga,” kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Skuad Merah Kuning kini memburu trofi Piala Malaya ke-34 sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun tanpa trofi selepas kali terakhir bergelar juara kejohanan berprestij itu pada edisi 2015.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/19/pan-gon-temui-formula-terbaik/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *