Badan Kehakiman Malaysia, mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan juga mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Inisiatif ini dibuat susulan Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas pada 19 Januari 2026.
“Dalam titah baginda, keperluan untuk menyediakan hakim yang berpengalaman bagi mendengar kes rasuah telah ditekankan, selain menekankan perlunya laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Hakim Besar Malaya setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara bersetuju supaya Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan juga mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah,” jelas kenyataan itu.
Dalam kenyataan tersebut juga menyebut, empat belas (14) Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan di seluruh negara dengan sasaran menyelesaikan kes dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran.
“Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/badan-kehakiman-tubuh-mahkamah-tinggi-khas/

Leave a Reply