PUTRAJAYA 20 Jan – Kerajaan Malaysia, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) hanya perlu membayar ganti rugi berjumlah RM1.4 juta kepada keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berbanding RM5 juta seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, selepas mengetepikan sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pembayaran pampasan lebih tinggi terhadap empat pihak berkenaan.
Ketika membacakan keputusan sebulat suara, Hakim Datuk K. Muniandy berkata, jumlah ganti rugi dikurangkan berikutan Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi undang-undang apabila menganugerahkan pampasan asal sebanyak RM5 juta.
βPanel berpendapat terdapat kesilapan prinsip undang-undang dalam penilaian ganti rugi oleh Mahkamah Tinggi, justeru jumlah tersebut wajar dikurangkan,β katanya.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan saman sivil yang difailkan keluarga Altantuya berhubung kematian wanita itu pada 2006, dan memerintahkan empat defendan membayar pampasan.
Saman tersebut difailkan oleh bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.
Mereka mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan trauma mental dan psikologi, sekali gus melayakkan mereka menerima pampasan, termasuk ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Empat defendan yang dinamakan ialah dua bekas anggota UTK, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif selepas beliau meninggal dunia pada 2017.
Altantuya dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam rundingan penjualan kapal selam oleh syarikat pembekal senjata dari Perancis, Direction des Constructions Navales (DCN), kepada kerajaan Malaysia.
Beliau dibunuh pada 18 Oktober 2006 dan kes itu membawa kepada penahanan serta pendakwaan terhadap Koperal Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh wanita berkenaan.
π Source: https://www.mediatelus.com/detail/13670

Leave a Reply