KUALA LUMPUR 20 Jan – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan awam khas sempena sambutan Thaipusam 2026 bagi menyokong kelancaran pergerakan sehingga 2.5 juta pengunjung ke Batu Caves.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih teratur, selamat dan selesa kepada orang ramai.
Menurut beliau, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, inklusif serta berteraskan kesejahteraan rakyat, selari dengan keperluan mobiliti sempena perayaan utama negara.
KTM Komuter beroperasi 24 jam
Anthony Loke berkata, bagi memastikan kelancaran perjalanan ke Batu Caves, perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi selama 24 jam selama empat hari tiga malam bermula 30 Januari hingga 2 Februari ini.
Katanya, sebanyak 609 perjalanan tren akan disediakan sepanjang tempoh tersebut, meningkat 23 peratus berbanding tahun lalu, dengan kapasiti sehingga 700,000 penumpang.
“Sebanyak 28 stesen akan beroperasi 24 jam dengan penempatan petugas tambahan bagi membantu aliran penumpang termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita mengandung dan kanak-kanak.
“Pengguna juga digalakkan menggunakan perkhidmatan LRT dan MRT untuk pertukaran ke KTM Komuter menuju Batu Caves bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.
ETS tambahan disediakan
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak lapan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan disediakan melibatkan laluan JB Sentral–Butterworth, JB Sentral–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh dan KL Sentral–Butterworth.
Menurutnya, perkhidmatan itu beroperasi dari 29 Januari hingga 3 Februari ini dengan 10,080 tiket ditawarkan, manakala jualan tiket dibuka mulai 26 Januari.
Bas shuttle dan feri percuma
Selain itu, Anthony Loke berkata, di Kuala Lumpur, sebanyak 30 bas shuttle Rapid KL akan beroperasi secara percuma dari Hab Bandar Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu ke Batu Caves dengan kekerapan setiap 10 minit.
“Perkhidmatan ini bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam pada 31 Januari dan diteruskan secara 24 jam pada 1 Februari,” katanya.
Di Pulau Pinang pula, Rapid Penang menyediakan bas shuttle percuma dari jeti feri ke Adventist, manakala perkhidmatan feri turut diberikan secara percuma bermula 31 Januari hingga 2 Februari, dengan lanjutan operasi sehingga jam 3 pagi pada 2 Februari.
Beliau berkata, perkhidmatan BAS.MY juga akan beroperasi secara percuma di Johor Bahru, Seremban, Ipoh, Kota Setar dan Sungai Petani dengan penglibatan keseluruhan 169 buah bas bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke kuil-kuil utama.
Tambang percuma KTM Komuter
Sebagai inisiatif khas kerajaan, Anthony Loke memaklumkan tambang KTM Komuter di Lembah Klang akan diberikan secara percuma pada 31 Januari dan 1 Februari, dari jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam.
Katanya, inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada sehingga 450,000 penumpang.
ETS tambahan sempena perayaan lain
Selain Thaipusam, kerajaan turut memperluaskan perkhidmatan istimewa itu sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri dalam suku pertama 2026.
Menurut Anthony Loke, bagi sambutan Tahun Baharu Cina, perkhidmatan ETS tambahan akan beroperasi dari 13 hingga 22 Februari berikutan tiket hampir habis terjual.
“Perkhidmatan ini melibatkan laluan utama dari KL Sentral ke Butterworth, Ipoh dan Padang Besar, serta dari JB Sentral ke KL Sentral dengan keseluruhan 26,460 tiket ditawarkan,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13674

Leave a Reply