Treler terbabas di SPE, pemandu dan kelindan maut tercampak ke bawah lebuh raya

KUALA LUMPUR 20 Jan – Kemalangan tragis di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) meragut nyawa dua lelaki selepas sebuah treler terbabas sebelum melanggar penghadang konkrit berhampiran sebuah kilang di Jalan Chan Sow Lin, malam Isnin.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nur Zahela Mohamad Zainal berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 malam.

“Seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan treler telah melanggar batu penghadang konkrit yang mengakibatkan dua lelaki tempatan tercampak ke bawah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang merupakan pemandu dan kelindan treler disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kerja-kerja mengangkat mangsa dilakukan dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian sama turut berlaku satu lagi insiden membabitkan sebuah kren yang sedang menjalankan kerja di tapak pembinaan berhampiran lokasi kemalangan.

“Terdapat seorang lelaki warga Pakistan cedera di kaki dan telah diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13664

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *