LONDON – Bekas pengendali Real Madrid, Xabi Alonso dilapor sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai pengurus baharu Liverpool sekiranya kelab itu membuat keputusan memecat Arne Slot.
Slot ketika ini berdepan tekanan tinggi apabila gagal mengulangi prestasi seperti musim lalu apabila sekadar berada di kedudukan keempat dan ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, malah hanya meraih empat keputusan seri berturut-turut aksi Liga Perdana Inggeris.
Biarpun Liverpool dikatakan tidak gemar untuk menukar pengurus ketika musim sedang berjalan, namun tidak ada sebarang jaminan terhadap masa depan Slot yang mungkin akan dipaksa meninggalkan Anfield pada hujung musim nanti sekiranya trend prestasi tidak berubah.
Laporan portal sukan berpengaruh di Sepanyol, Marca menyebut bahawa Alonso sudah maklum mengenai minat yang ditunjukkan oleh Liverpool sekiranya mereka memerlukan pengurus baharu.
“Alonso mungkin akan berada dalam keadaan tenang sehingga Julai nanti. Jika anda masih ingat, Alonso mengambil alih tugas di Bayer Leverkusen pada pertengahan musim dan itu membuktikan bahawa beliau tidak takut.
“Liverpool memiliki pengurus ketika ini, namun kedudukan Arne Slot tidak selamat dan Alonso adalah calon untuk mengambil alih tugas itu pada musim panas nanti.
“Sukar untuk Liverpool memenangi dan mempertahankan kejuaraan EPL musim ini. Itu menyebabkan spekulasi menjadi hangat bahawa Alonso akan kembali ke bekas kelabnya itu,” menurut laporan portal berkenaan. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/22/epl-alonso-kembali-terbuka-hati/

Leave a Reply