Keghairahan RadjaWali, dicemari ‘racun’ kemenjadian konsert

TIADA siapa mampu menidakkan keampuhan dua kumpulan gergasi Indonesia, Radja dan Wali Band setiap kali beraksi di pentas mega termasuk ketika konsert Pentas RadjaWali di Idea Live Arena Damansara, baru-baru ini.

Biar rata-rata usia anggota kedua-dua band terbabit sudah mencecah garis 50-an, tenaga barisan teraju serta kelunakan suara vokalisnya bagai tidak dimamah waktu.

Tolak tepi insiden konsert terpaksa dihentikan tepat pukul 12 tengah malam berikutan gelanggang pentas di Damansara bawah bangunan residensi, keseluruhan persembahan sangat dinamik sekali gus menjadi malam tempoh hari penuh magis biarpun ada yang hampir ‘menangis’ dibuatnya.

Sekitar 5,000 pulang kehampaan apabila kumpulan ditunggu-tunggu iaitu Wali Band terpaksa akur dengan arahan pengelola dewan berundur sebelum dapat membawakan enam seleksi hits mereka.

Muncul tanpa gitaris utama Apoy, band asal Tangerang Selatan itu mengambil alih pentas tepat pukul 10.55 malam yang disambut sorakan peminat juga rata-rata penggemar muda.

Nyata, populariti Wali Band di TikTok mendekatkan mereka dengan Gen Z iaitu kelompok usia seawal 14 tahun yang nyata mampu menghafal tiap seleksi hits mereka.

Memulakan aksi dengan berpantun selawat, mereka memilih lagu Cari Berkah atau Cabe sebagai pemanas sebelum momentum persembahan ditingkatkan bersama Si Udin Bertanya (Robbana Atina).

Vokalisnya, Faank sempat menitipkan doa meminta segala musibah dijauhkan sebelum mendendangkan Alif Ba Ta Sa serta seleksi rancak Nenekku Pahlawanku.

Bagai mengejar waktu, band yang popular dengan lagu ketuhanan dan kemanusiaan itu menzahirkan kesyukuran dapat berhimpun dengan peminat Malaysia

“Terima kasih Ya Allah mengumpulkan kami di sini semoga perhimpunan ini jadi pahala. Aboy sakit, didoakan Allah angkat penyakitnya,” ujarnya ringkas.

Suasana bertukar hening apabila Faank menitiskan air mata tatkala membawakan lagu Doaku Untukmu Sayang disusuli Baik Baik Sayang.

Akuinya lagi dengan nada sebak, negara ini secara peribadi juga dekat dengan dirinya kerana anak saudaranya mengahwini orang Malaysia.

“Malaysia dekat dengan saya. Ramai saudaraku di sini. Keponakan (anak buah) nikah dengan orang Malaysia. Alhamdulillah, Wali Band dipertemukan dengan ramai orang baik,” katanya disambut sorakan.

Kental dengan teriakan ‘Eee Aaa’, setiap kali selesai berdendang laungan peminat bergema di segenap dewan malah lagu Yang Penting Halal serta Emang Dasar juga disampaikan dengan energetik.

Memenuhi permintaan, Ada Gajah Di Sebalik Batu yang ‘fun’, namun sarat makna pula berkumandang tetapi selepas itu keseronokan peminat terus terpadam sebaik konsert terpaksa diberhentikan tepat pukul 12 tengah malam atas faktor masa.

Harapan peminat untuk mendengar lagu Cari Jodoh, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan Tobat Maksiat yang dijangkakan di penghujung konsert lebur sebaik wakil penganjur konsert muncul memohon maaf seusai lagu Ada Gajah di Balik Batu.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya mewakili penganjur memohon maaf kerana kebenaran kita menggunakan dewan yang indah ini hanya setakat ini sahaja,” kata wakil penganjur yang awalnya disangka gimik.

Sorakan meminta persembahan diteruskan bergema di seluruh arena, namun ternyata lagu itu menjadi penutup konsert tanpa ucapan selamat tinggal membuatkan penonton meninggalkan dewan dengan rasa tidak puas hati.

Hanya sempat menghiburkan peminat seketika, aksi Wali Band sebenarnya tidak menghampakan, cuma ‘dicemburui’ waktu.

Radja yang memanaskan pentas agak lewat iaitu sekitar pukul 8.55 malam mengawali dendangan dengan Tulus sebelum meneruskan rangkaian lagu-lagu popular yang pernah menjadi siulan ramai.

Dianggotai Ian Kasela, Moldyansyah Mulyadi dan Seno Aji Wibowo, kumpulan itu mencipta suasana lebih dekat apabila vokalisnya turun dari pentas menyapa peminat, termasuk dari Singapura dan Brunei.

“Meski teman-teman duduk, tapi tak mengapa ya? Kita di sini masih boleh berhibur. Ini kamu semua mahu lagu apa yang seterusnya?

“Yang keras atau semangat?” kata Ian santai menyapa peminat.

Lebih sejam menguasai pentas, Radja mempersembahkan katalog dendangan popularnya termasuk Benci Bilang Cinta, Angin, Bulan dan Jujur, sekali gus membuktikan mereka kekal relevan.

Berharap di lain waktu tiada lagi insiden ‘tidak cukup masa’ berulang, penganjur harus peka selain mengingatkan penyanyi agar tidak terbabas terutama apabila membabitkan lebih daripada satu kumpulan atau penyanyi.

Sewajarnya persembahan mega sebagus ini meninggalkan kenangan indah buat khalayak yang mengeluarkan duit untuk membeli tiket, bukan berakhir dengan rasa kecewa.

Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia adalah anjuran Impian Al Fateh Sdn. Bhd. bersama GIS Entertainment & Events dan ILCV Events.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/22/keghairahan-radjawali-dicemari-racun-kemenjadian-konsert/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *