Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan untuk melarang sepenuhnya aktiviti busking sepanjang 10 malam terakhir Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjaga keharmonian dan kesucian bulan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, larangan tersebut berkuat kuasa dari 21 hingga 30 Ramadan 1447H dan melibatkan semua daerah di Terengganu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa aktiviti busking masih dibenarkan pada hari-hari lain sepanjang Ramadan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh PBT masing-masing.
Antara syarat utama ialah waktu persembahan dihadkan dari jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam, selain lokasi persembahan mestilah berada lebih 500 meter dari masjid atau surau.
Menurut Wan Sukairi, hanya persembahan bercorak ketuhanan seperti nasyid, lagu seumpamanya serta lagu raya dibenarkan sepanjang Ramadan.
Beliau berkata, ketetapan itu bertujuan memastikan suasana Ramadan di Terengganu kekal harmoni, selamat dan selesa, khususnya dalam menghormati amalan ibadah masyarakat.
“Ketetapan ini dibuat secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan semua PBT di setiap daerah supaya pelaksanaannya seragam serta tidak menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut meminta semua PBT supaya tidak mengenakan caj atau fi yang tinggi kepada busker yang mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan.
“Saya meminta PBT agar bertimbang rasa dan tidak membebankan busker dengan caj yang tinggi, memandangkan mereka telah memberi komitmen untuk mematuhi peraturan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/terengganu-larang-aktiviti-busking-10-malam-terakhir-ramadan/

Leave a Reply