Fazura umum bersara daripada drama televisyen tempatan

KUALA LUMPUR 23 Jan – Aktres popular, Nur Fazura, mengumumkan keputusan untuk bersara daripada membintangi sebarang drama terbitan semua stesen televisyen tempatan.

Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 43, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kekangan masa serta komitmen penggambaran drama yang memerlukan tempoh panjang.

“Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama di semua stesen televisyen di Malaysia. Namun, saya masih terbuka untuk menerima tawaran filem bergantung kepada projek, sama ada di Malaysia atau Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall, di sini, semalam.

Menurut Fazura, antara sebab utama keputusan itu diambil adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia enam tahun dan mengalami kebimbangan akibat perpisahan.

“Fatima sangat rapat dengan saya dan sukar berjauhan dalam tempoh lama. Jika saya keluar bekerja terlalu lama, dia akan mencari saya, malah untuk tidur pun dia menunggu saya pulang,” katanya.

Walaupun telah mengumumkan persaraan daripada drama televisyen, Fazura menyerahkan sepenuhnya perjalanan kerjaya seninya pada ketentuan Tuhan pada masa hadapan.

“Ini satu keputusan besar dan saya tekad, namun kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas perkembangan kerjaya nyanyian, Fazura berkata beliau akan terus berkarya sebagai penyanyi di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

Katanya, beliau masih berminat menghasilkan lagu dan kini mengikuti kelas vokal sebagai persediaan, sekiranya terdapat karya atau tawaran yang sesuai daripada penerbit.

Difahamkan, kemunculan terakhir Fazura di layar kaca adalah menerusi drama Lelaki Itu yang disiarkan di Slot Samarinda TV3 serta Andartu Kosmopolitan di platform Viu pada tahun 2024.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13745

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *