Inkues Zara Qairina: Jumpa bukti baharu, mahkamah panggil semula bekas ketua warden

KOTA KINABALU 22 Jan – Prosiding inkues menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir diteruskan hari ini apabila Mahkamah Koroner memanggil semula bekas ketua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha untuk memberikan keterangan tambahan.

Saksi kelapan, Azhari Abd Sagap, yang dipanggil semula semalam, mendedahkan penemuan bukti baharu berupa sehelai kertas yang ditemui semasa aktiviti gotong-royong dijalankan di sekolah berkenaan.

Susulan pendedahan itu, mahkamah menangguhkan prosiding pada jam 4 petang semalam.

Azhari memberitahu mahkamah bahawa nota pada kertas berkenaan menyatakan minat mendalam Zara untuk menjadi seorang pengawas Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).

Menurut saksi itu lagi, bukti baharu tersebut merupakan antara dokumen yang diserahkan kepada polis tahun lalu, termasuk salinan imbasan kenyataan bertulis pelajar serta diari.

Inkues berkenaan bermula pada 3 September tahun lalu susulan kematian Zara pada 17 Julai, sehari selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan SMKA Tun Datu Mustapha.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13728

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *