KUALA LUMPUR 23 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan susulan kematian seorang pegawai elit Unit VAT 69 Komando semasa menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah pada Khamis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terperinci itu bertujuan mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk menilai pematuhan prosedur latihan, penggunaan peralatan serta aspek kesihatan dan keselamatan mengikut peraturan serta tatacara operasi standard (SOP) ditetapkan.
“PDRM mengesahkan bahawa seorang pegawai Unit VAT 69 Komando telah meninggal dunia semasa menjalani latihan menyelam.
“Pegawai berkenaan telah diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, seluruh warga PDRM turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin.
Mohd Khalid berkata, PDRM mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Terdahulu, seorang pegawai kanan Unit VAT 69 Komando PDRM dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah pada pagi Khamis.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13741

Leave a Reply