Pelajar autisme rakam penghargaan buat PM, inisiatif pendidikan percuma

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa semua pelajar berstatus OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, dan kolej komuniti yang berjumlah kira-kira 3,000 orang akan menerima pendidikan percuma.

Pengumuman ini disambut baik oleh ibu bapa, pendidik, dan komuniti, menandakan satu langkah penting dalam memastikan setiap kanak-kanak berkeperluan khas diberi peluang yang sama untuk berkembang.

Di sebalik berita gembira ini, Rajendra Vharma, pelajar autisme PPKI Sentul Utama, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya. Dalam sebuah video pendek yang tular, Rajendra menyampaikan rasa terima kasihnya secara langsung kepada Perdana Menteri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kebaikan dan perhatian beliau terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.

“Pengumuman mengenai pendidikan percuma bukan sekadar satu dasar, tetapi merupakan hadiah kepada sebuah harapan. Ia menunjukkan bahawa masa depan kami penting dan setiap kanak-kanak, tidak kira cabaran yang dihadapi, berhak menjadi sebahagian daripada masa depan Malaysia,” katanya dengan penuh keikhlasan.

Rajendra, yang juga diiktiraf sebagai pelukis autisme oleh Malaysia Book of Records (MBOR), turut mengucapkan penghargaan kepada ibu bapa dan warga pendidik yang sentiasa memberikan bimbingan dan sokongan.

“Kepada rakan-rakan saya, jangan pernah berputus asa. Teruslah belajar dan percayalah pada diri sendiri. Kepada ibu bapa, terima kasih kerana menjadi sokongan terbesar kami. Dan kepada semua pendidik, terima kasih kerana membimbing kami,” tambahnya dengan penuh semangat.

🔗 Source: https://thereporter.my/pelajar-autisme-rakam-penghargaan-buat-pm-inisiatif-pendidikan-percuma/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *