‘Rawatan alat sulit demi kepuasan, boleh jatuh haram’ – Ustazah Asma’

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menyatakan bahawa perbuatan menjalani rawatan alat sulit wanita dengan tujuan mengetatkan atau mencantikkan faraj boleh jatuh kepada hukum haram walaupun dilakukan atas alasan untuk memenuhi kehendak suami.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan tindakan seorang pempengaruh wanita yang menerima kritikan ramai selepas mengakui secara terbuka menjalani rawatan melibatkan alat kelamin. Ustazah Asma berpandangan bahawa pendedahan sebegitu bukan sahaja menyentuh soal hukum rawatan, malah melibatkan isu aurat besar dan adab menjaga maruah diri.

Menurut beliau, rawatan alat kelamin yang bertujuan untuk ketat dan cerah tergolong dalam perbuatan mengubah ciptaan semula jadi serta melibatkan pendedahan aurat yang tidak dibenarkan tanpa keperluan mendesak. Selain itu, perbuatan menceritakan secara terbuka mengenai rawatan tersebut disifatkan sebagai membuka aib diri kerana memberi gambaran jelas terhadap aurat alat sulit.

Dalam penjelasannya, Ustazah Asma turut merujuk pandangan Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan menerusi kitab al-Jirahah al-Tajmiliyyah yang membahagikan rawatan faraj kepada beberapa keadaan. Rawatan atau pembedahan faraj adalah dibenarkan sekiranya dilakukan atas keperluan perubatan seperti kekeliruan struktur faraj, masalah saluran kencing atau saluran najis, serta kelemahan otot faraj yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada wanita atau pasangan.

Namun katanya, rawatan mengetatkan otot faraj yang dilakukan akibat kelonggaran semula jadi disebabkan faktor usia atau kekerapan bersalin, dan bertujuan semata-mata untuk meningkatkan kepuasan hubungan seksual tanpa keperluan perubatan, dihukumkan sebagai haram.

“Pengharaman tersebut adalah kerana rawatan berkenaan dianggap sebagai usaha mengubah ciptaan semula jadi memandangkan kelonggaran otot faraj merupakan perkara tabii yang berlaku kepada wanita. Rawatan hanya dibenarkan sekiranya kelonggaran berpunca daripada kecacatan akibat kemalangan atau penyakit yang tidak disengajakan,” jelasnya.

Selain itu ujarnya, prosedur berkenaan memerlukan pemeriksaan serta sentuhan terhadap aurat besar wanita yang diharamkan kecuali dalam keadaan darurat perubatan.

Ustazah Asma’ turut menjelaskan bahawa wanita masih boleh menjalani kehidupan berumah tangga dan hubungan suami isteri seperti biasa tanpa perlu menjalani rawatan sedemikian, sebagaimana kebanyakan wanita lain yang berkahwin, melahirkan anak dan meningkat usia secara fitrah.

🔗 Source: https://thereporter.my/rawatan-alat-sulit-demi-kepuasan-boleh-jatuh-haram-ustazah-asma/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *