Syarikat kurier culas patuhi perintah gaji minimum digempur JTK

SHAH ALAM 23 Jan – Keculasan sebuah syarikat perkhidmatan kurier yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 serta tidak membayar gaji lebih masa kepada pekerja terbongkar selepas digempur pihak berkuasa semalam.

Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Pasukan Khas Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 malam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Betty Hasan, berkata seramai 120 pekerja tempatan dan 175 pekerja asing telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.

Menurut beliau, pekerja asing yang terlibat terdiri daripada warga Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 serta pelanggaran Akta Kerja 1955, termasuk Seksyen 25A berkaitan bayaran gaji secara tunai.

“Selain itu, pelanggaran Seksyen 60A turut dikesan kerana tidak membayar gaji lebih masa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menegaskan, semua kesalahan berkenaan akan diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Betty berkata, JTKSM akan terus mempergiat pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan bagi memastikan pematuhan perundangan buruh.

“Penguatkuasaan secara konsisten penting bagi menjamin kebajikan pekerja tempatan dan asing, selain memperkukuh keharmonian perburuhan negara.

“Pada masa sama, operasi sebegini juga menjadi platform untuk memberi penerangan, nasihat serta bimbingan kepada majikan supaya mematuhi undang-undang perburuhan, sejajar usaha kerajaan mewujudkan persekitaran pekerjaan yang adil, selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13742

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *