SHAH ALAM 23 Jan – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan pendakwah selebriti, Da’i Syed, sekali gus mengekalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadapnya atas kesalahan merogol seorang wanita pada 2019.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Adlin Abdul Majid selepas mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam penghakiman Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Sesyen adalah berasaskan keterangan kukuh serta penilaian tepat terhadap keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan.
“Setelah meneliti keseluruhan hujahan serta rekod perbicaraan, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
“Hukuman adalah munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan. Oleh itu, hukuman dikekalkan dan berkuat kuasa bermula hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang diputuskan sebelum ini kekal berkuat kuasa.
Bagaimanapun, Syed yang diwakili peguam bela, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, memohon agar hukuman ditangguhkan atas alasan isterinya baru sahaja melahirkan anak tiga bulan lalu dan bayi mereka masih kecil.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman, mewakili pihak pendakwaan, berhujah bahawa alasan dikemukakan perayu tidak kukuh untuk menangguhkan hukuman.
Mahkamah seterusnya tidak membenarkan permohonan penggantungan hukuman dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan memberi kesan besar kepada mangsa.
Sementara itu, Syed dilihat menangis ketika berada di kandang tertuduh sebaik keputusan mahkamah dibacakan.
Untuk rekod, Syed pada 10 Disember 2020 mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal selepas didapati bersalah.
Bagaimanapun, tertuduh dilepaskan sementara bermula 20 September 2024 sehingga prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.
Sebelum ini, pihak pembelaan berhujah tiada kejadian rogol berlaku dan mendakwa hubungan seksual itu berlaku atas persetujuan mangsa, selain menegaskan pendirian tertuduh kekal konsisten sejak awal prosiding.
Sebaliknya, pihak pendakwaan menegaskan mangsa tidak pernah memberikan sebarang persetujuan terhadap hubungan seksual tersebut.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13752

Leave a Reply