KUDAT 24 Jan – Tragedi kebakaran meragut nyawa sepasang warga emas apabila sebuah rumah dua tingkat di Kampung Lausan, Batu 4, di sini, musnah sepenuhnya dalam kejadian malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 74 tahun dan isterinya berumur 73 tahun ditemui rentung di dalam bilik tidur rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam sebelum 10 anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
“Pasukan kita tiba di lokasi pada jam 12.36 tengah malam dan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar 100 peratus.
“Operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran berikutan laluan sempit termasuk sebuah jambatan kecil serta kedudukan wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.30 pagi dengan mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2 pagi, manakala mangsa kedua ditemukan dan dikeluarkan kira-kira jam 3.50 pagi.
Katanya, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi bahaya lain dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13766

Leave a Reply