LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui menyedari bahawa Manchester United di bawah kendalian Michael Carrick menunjukkan peningkatan ketara ketika kedua-dua pasukan bakal berentap di Emirates tengah malam ini.
Kejutan ketika meraih kemenangan pada aksi derbi menentang seteru setempat, Manchester City membuatkan Arteta percaya Arsenal perlu lebih berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah cabaran United kali ini.
“Ya, Michael telah membawa idea baharu ke dalam kelab itu. Intensiti mereka meningkat dan pada aksi derbi sebelum ini, cara mereka bermain dan sikap ditunjukkan juga berbeza.
“Kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar, tetapi kami perlu cepat menyesuaikan diri. Kami bermain di hadapan penyokong sendiri dan sedar betapa pentingnya perlawanan ini,” katanya.
Tambahnya, beliau menjangkakan United yang bakal ditentang nanti bukan lagi kelab yang sama seperti ketika mereka meraih kemenangan 1-0 pada awal musim di Old Trafford.
Kemenangan pada perlawanan ini sangat penting buat The Gunners untuk membolehkan mereka terus melebarkan jurang mata berbanding pencabar utama, City apabila ketika ini memiliki kelebihan tujuh mata di persada Liga Perdana Inggeris.
Dalam pada itu, Arteta turut mengulas mengenai situasi dua pemainnya, Riccardo Calafiori dan Piero Hincapie yang sebelum ini disisihkan ekoran kecederaan, namun masih belum dapat disahkan sama ada akan diturunkan atau sebaliknya.
Calafiori terpaksa direhatkan ekoran kecederaan otot sejak bulan lalu, manakala Hincapie mengalami kecederaan pangkal paha pada awal bulan ini.
“Kami masih ada satu lagi sesi latihan, di situ kita akan membuat penilaian sama ada mereka mampu untuk beraksi selepas memulakan sesi latihan,” jelasnya.
Apa yang melegakan Arteta ketika ini adalah prestasi yang dipamerkan dua penyerangnya, Gabriel Jesus serta Viktor Gyokeres yang berada pada tahap terbaik selepas meledak jaringan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Inter Milan sebelum ini.
Selain itu, Arteta juga mengesahkan bahawa Kai Havertz berada pada tahap kecergasan terbaik untuk diturunkan sekali gus menyaksikan hanya Max Dowman yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/25/epl-arteta-bimbang-kebangkitan-united/

Leave a Reply