KUALA LUMPUR 25 Jan – Nilai kemanusiaan yang melangkaui perbezaan kaum, warna kulit dan agama terus menjadi asas perpaduan negara, seperti dizahirkan melalui sikap penuh empati seorang jururawat yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jururawat berkenaan, Nur Deena Nadzhiefa, mencuri perhatian ramai apabila videonya menyantuni seorang pesakit warga emas berbangsa India mendapat reaksi positif warganet, sekali gus membawa kepada pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau berpeluang bertemu sendiri jururawat terbabit semasa majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, pada Sabtu.
Menurutnya, video tular yang memaparkan keikhlasan Nur Deena dalam melayani pesakit itu benar-benar menyentuh perasaan serta mencerminkan nilai ihsan yang tinggi dalam profesion kejururawatan.
“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang ditunjukkan oleh Deena.
“Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Nur Deena kerana berjaya menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugasan hariannya dan berharap sikap terpuji itu dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga kesihatan serta masyarakat.
“Pengiktirafan tersebut disifatkan sebagai simbol penghargaan terhadap nilai kemanusiaan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen KKM dalam membudayakan perkhidmatan kesihatan yang prihatin serta berteraskan empati,” ujarnya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13772

Leave a Reply