‘Saya terduduk, deposit pembedahan buang darah beku RM25,000’

PETALING JAYA – Isteri kepada pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau, Sharifah Azrinah menzahirkan rasa syukur tidak terhingga apabila pembedahan membuang pendarahan beku di bahagian otak suaminya berjaya dilaksanakan hasil bantuan ramai pihak, semalam.

Ujar Azrinah atau nama sebenarnya Sharifah Azrinah Syed Ibrahim, 51, hatinya luluh apabila dimaklumkan kos rawatan mencecah puluhan ribu ringgit, sekali gus membuatkan dirinya hampir putus asa sebelum pertolongan hadir tanpa disangka.

“Hospital Sultan Abdul Aziz Shah ini separa kerajaan. Bila pihak hospital maklumkan deposit RM25,000 diperlukan, malah kos boleh meningkat sehingga RM35,000 atau RM40,000 jika berlaku perkara tidak dijangka, saya benar-benar terduduk.

“Hujung minggu pula, nak keluarkan simpanan bukan mudah. Dalam hati saya cuma fikir, macam mana nak buat supaya Pak Su dapat terus dirawat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pun begitu, sinar harapan mula muncul apabila rakan artis, Sheila Mambo tampil membantu dan menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan orang ramai.

“Sheila beri saya semangat dan minta saya kuat. Katanya, apa pun cara, kita usaha dulu asalkan Pak Su kembali sihat.

“Tak lama selepas itu, satu demi satu hamba Allah hulurkan bantuan termasuk Pencetus Ummah Salman, Imam Muda Ashraf dan ramai lagi. Mungkin kerana mereka kenal kebaikan Pak Su, Allah lembutkan hati semua untuk bantu,” ujarnya.

Dalam keadaan terdesak, Azrinah turut bercadang memindahkan suaminya ke Hospital Kuala Lumpur, namun dinasihatkan supaya meneruskan pembedahan di hospital sama demi keselamatan.

“Saya terfikir, boleh ke kumpul duit dalam masa singkat? Bukan mudah, tapi Allah hantar orang baik-baik.

“Pihak hospital sendiri maklumkan ada kebajikan. Selepas ditemu bual, mereka setuju menanggung RM10,000 dan saya hanya perlu sediakan RM15,000.

“Allahuakbar, saya urut dada. Sebelum itu doktor kata saya perlu sediakan RM25,000 segera sedangkan saya cuma ada sekitar RM6,000. Bila mereka sudi ‘wave’ sebahagian kos, saya benar-benar terharu,” luahnya.

Paling penting katanya, hasil bantuan rakan artis, saudara mara serta orang ramai, jumlah mencukupi berjaya dikumpulkan dan pembedahan dapat dilakukan tanpa berlengah.

Dia menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang tidak putus menghulurkan sokongan moral dan kewangan.

“Saya mohon sampaikan ucapan terima kasih daripada saya, anak-anak dan Pak Su kepada semua. Tak kisahlah siapa.

“Terima kasih Imam Muda Ashraf, Sheila Mambo dan semua yang sentiasa telefon, bertanya khabar serta memberi kekuatan.

“Sejak semalam, saudara mara dan sahabat handai datang tanpa henti walaupun hanya mampu menunggu di luar. Saya benar-benar tersentuh kerana ramai mahu membantu ringankan beban kami sekeluarga,” tuturnya.

Berkongsi perkembangan terkini, ibu tiga anak itu memaklumkan keadaan Shamsul kini stabil namun masih memerlukan pemantauan rapi, terutama dalam tempoh kritikal awal.

“Selepas prosedur membuang darah beku di bahagian otak kiri depan, keadaannya okey dan hari ini lebih stabil.

“Doktor maklumkan 48 jam pertama sangat penting. Dalam tempoh 90 hari awal nanti, Pak Su perlu dipantau rapi serta menjalani fisioterapi.

“Saya mohon doa semua kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana perjalanan selepas ini,” kongsinya.

Terdahulu, Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 58, dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang selepas dipercayai mengalami pendarahan beku di bahagian otak.

Perkembangan mengenai kesihatan pelakon itu sebelum ini dikongsikan oleh rakan seindustri, Sheila Mambo, selepas menerima maklumat terus daripada isterinya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/25/saya-terduduk-deposit-pembedahan-buang-darah-beku-rm25000/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *