Angkara cemburu, lelaki melecur disimbah asid di stesen minyak di Gurun

SUNGAI PETANI 26 Jan – Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur pada muka, leher dan dada selepas disimbah asid dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak di Jeniang, Gurun, di sini, awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.15 pagi selepas seorang wanita menghubungi Balai Polis Gurun untuk melaporkan insiden berkenaan.

Beliau berkata, mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pekerja kantin mengalami kecederaan melecur kira-kira 11 peratus akibat serangan tersebut.

“Polis mengesan dan menahan suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu, pagi tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan cemburu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek akan direman pagi ini bagi membantu siasatan lanjut, manakala mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Polis masih menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian itu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13779

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *