Selepas Tentera Darat, SPRM bekukan pula 21 akaun, sita aset RM2 juta dakwaan rasuah projek TLDM

KUALA LUMPUR 26 Jan – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Op Layar membabitkan dakwaan rasuah perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus diperkukuh apabila 21 akaun bank dibekukan dan aset bernilai kira-kira RM2 juta disita.

Menurut sumber, tindakan itu diambil susulan siasatan terhadap beberapa syarikat yang dipercayai terbabit dalam perbuatan rasuah bagi mengesyorkan dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.

Katanya, pembekuan akaun berkenaan melibatkan tujuh akaun syarikat serta 14 akaun perbankan milik beberapa individu dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sekitar RM700,000.

Sumber turut memaklumkan, SPRM sedang menjalankan semakan ke atas beberapa syarikat bersama Jabatan Akauntan Negara (AGC) bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang tender atau sebut harga yang diperoleh oleh syarikat terbabit.

Selain itu, siasatan oleh Bahagian Perisikan SPRM turut membawa kepada penyitaan dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta.

“Pada masa ini SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki suspek dan turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan berkenaan dan memaklumkan bahawa sehingga kini, SPRM telah merakam percakapan tujuh individu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13785

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *