JAKARTA 26 Jan – Angka korban tragedi tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat terus meningkat apabila sebanyak 25 mayat ditemukan setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pada Ahad.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, semua mayat mangsa yang ditemui sudah diserahkan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Republik Indonesia bagi proses pengecaman lanjut.
“Selain mangsa yang maut, seramai 23 orang dilaporkan selamat, manakala 81 yang lain masih hilang.
“Jumlah mangsa dijangka berubah memandangkan lebih banyak mangsa dikesan dan proses pengecaman lanjut dijalankan oleh pasukan DVI,” katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.
Tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat itu melanda Kampung Pasir Langu kira-kira jam 2.30 pagi Sabtu lalu, menyebabkan beberapa kawasan kediaman ditimbus sepenuhnya.
Menurut Abdul Muhari, selain faktor cuaca buruk, keadaan muka bumi di lokasi kejadian turut menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat sepanjang operasi pencarian dijalankan.
“Berdasarkan pertimbangan teknikal di lapangan, operasi pencarian dihentikan buat sementara waktu dan akan disambung semula pada Isnin,” katanya. – Agensi
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13777

Leave a Reply