‘Ada masalah, rujuk pakar, bukan artis’ – Adam Corrie

Pelakon, Adam Corrie, berkongsi pendirian tegasnya untuk tidak melayan curahan masalah berkaitan cinta dan rumah tangga daripada golongan wanita, termasuk peminat, rakan mahupun kenalan.

Menurut Adam, perkara itu sudah lama dipesan oleh isterinya sejak awal perkahwinan mereka, sebagai langkah menjaga batas pergaulan serta mengelakkan salah faham yang boleh mencetuskan fitnah.

“Kalau lelaki bercakap lembut sikit atau ambil berat lebih, ada segelintir wanita yang mudah salah faham. Bukan semua, tapi pernah berlaku dan akhirnya jadi parah,” jelasnya.

Adam turut mendedahkan pengalaman lampau apabila keprihatinannya disalah tafsir sehingga ada yang bertindak melampau dan menghantar mesej yang pelik sehingga memaksanya membuat laporan polis.

Sehubungan itu, beliau kini lebih berhati-hati, termasuk mengelakkan bergambar berdua dengan wanita, kecuali ditemani isterinya.

“Bukan sombong, tapi takut jadi fitnah. Saya selalu ajak isteri bergambar sekali,” katanya.

Dalam masa sama, Adam menasihati individu yang berdepan masalah peribadi agar mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul dan profesional, bukannya berkongsi dengan artis atau individu berlainan jantina.

Beliau menjelaskan, dirinya hanya mampu mendengar dan memberi nasihat secara umum, namun tidak boleh melangkaui batas kerana bukan kepakarannya.

Bagi kes serius seperti keganasan rumah tangga, Adam menyarankan mangsa terus membuat laporan polis, manakala isu kewangan pula boleh dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Adam turut mengingatkan bahawa syaitan sentiasa mencari peluang untuk menggoda manusia melakukan perkara tidak baik, justeru batas pergaulan perlu sentiasa dijaga, tidak kira lelaki mahupun wanita.

“Syaitan sentiasa mencari ruang untuk mengajak kita buat perkara tak baik. Kalau lelaki pun sama, jangan cerita masalah kat lain jantina. Nanti lain jadinya.

“Jangan la pula ada yang komen lelaki boleh atau suruh kahwin empat ye. Tak kelakar. Sila jaga adab apabila komen. Saya nak jaga hati isteri saya dan Jaga hati semua orang,” jelasnya.

🔗 Source: https://thereporter.my/ada-masalah-rujuk-pakar-bukan-artis-adam-corrie/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *