KUALA LUMPUR 27 Jan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti pelaksanaan sistem persekolahan dua sesi di beberapa sekolah bandar sebagai langkah segera mengatasi masalah kesesakan murid, khususnya melibatkan prasekolah dan Tahun Satu mulai tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu perlu bagi memastikan kualiti pendidikan terus terjamin walaupun berlaku peningkatan kemasukan murid di sekolah tertentu.
“Memang benar, ada sekolah di bandar mempunyai kepadatan murid sementara banyak sekolah desa, pedalaman kurang murid. Itu memang kenyataan.
“Bagi sekolah-sekolah yang dianggap sesak, KPM akan mengambil penyelesaian melaksanakan persekolahan dua sesi di beberapa sekolah yang mempunyai ramai murid tahun satu dan prasekolah bagi membolehkan pendidikan bermutu diberikan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai kesiapsiagaan sekolah yang mempunyai kepadatan murid yang dijangka bertambah selepas kemasukan murid prasekolah dan Tahun Satu pada usia lima dan enam tahun mulai tahun depan.
Menurut Anwar, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM800 juta bagi memenuhi keperluan pelaksanaan kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu, termasuk aspek kemudahan dan tenaga pengajar.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13815

Leave a Reply