Nora Ariffin tarik balik tuntutan cerai, pilih teruskan perkahwinan

SHAH ALAM 27 Jan – Penyanyi Datuk Nora Ariffin memilih untuk meneruskan perkahwinannya apabila Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini meluluskan penarikan balik permohonan tuntutan perceraian yang difailkannya sebelum ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Ahmad Faizul Ashar selepas Nora mengemukakan permohonan penarikan balik berkenaan pada prosiding hari ini.

Peguam syarie yang mewakili suaminya, Dr Rushdi Ramli iaitu Azmi Mohd Rais berkata, sebelum permohonan tersebut dibuat, Nora meletakkan beberapa syarat termasuk tiada lagi gangguan daripada pihak ketiga.

Mahkamah kemudian meluluskan permohonan itu dan menasihatkan Nora supaya memfailkan injunksi serta mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku gangguan selepas ini.

“Alhamdulillah, pada hari ini plaintif, Datuk Nora, menarik balik kes ini dan ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan.

“Sebelum permohonan penarikan balik dibuat, beliau memohon agar penarikan ini bersyarat, iaitu tiada gangguan daripada pihak ketiga.

“Justeru, Hakim Syarie meluluskan permohonan itu dan menasihatkan Datuk Nora bahawa beliau mempunyai hak untuk memfailkan injunksi tegah ganggu terhadap mana-mana pihak ketiga serta memfailkan kes gangguan di mahkamah sivil sekiranya perlu.

“Bagi pihak defendan pula, beliau sangat bersyukur dan bahagia dengan keputusan hari ini. Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas prosiding selesai, pagi tadi.

Azmi berkata, Dr Rushdi turut berjanji akan menasihati pihak ketiga terbabit agar tidak lagi mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.

Sementara itu, Dr Rushdi melahirkan rasa syukur dengan keputusan berkenaan dan memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai perkara tersebut.

“Sebenarnya saya tidak tahu hendak komen banyak. Apa pun, itulah yang saya harapkan. Alhamdulillah.

“Datuk Nora bersedia menarik balik tuntutan ini dan insya-Allah saya akan melaksanakan syarat-syarat yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata, usaha akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang salah faham melibatkan pihak ketiga pada masa akan datang.

“Kita perlu berusaha dan mengambil langkah sewajarnya. Sebagai suami, kita adalah ketua keluarga, bukan orang lain.

“Selepas ini saya akan lebih bertegas dan menjelaskan bahawa saya tidak mahu sebarang gangguan daripada mana-mana pihak. Itu adalah tuntutan agama dan perintah Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, pada 21 Oktober tahun lalu, mahkamah melantik hakam islah daripada panel mahkamah sendiri selepas kedua-dua pihak melantik anak sulung lelaki mereka, Dr Muhammad Shakir dan Syakir Iman, sebagai wakil keluarga melalui laporan hakam pertama.

Krisis rumah tangga pasangan itu mula mendapat perhatian pada 12 Ogos 2024 apabila Nora memuat naik sebuah video di Instagram yang memaparkan Dr Rushdi melafazkan cerai terhadapnya, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi.

Rentetan itu, Nora memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April tahun lalu.

Nora mengesahkan perkahwinannya dengan Dr Rushdi, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara, pada penghujung 2021.

Sebelum itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Allahyarham meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13807

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *