Penduduk Bukit Tagar lega, tak perlu fikir pasal babi lagi

HULU SELANGOR 27 Jan – Keputusan kerajaan negeri Selangor membatalkan rancangan projek ternakan babi di Bukit Tagar disambut baik penduduk setempat yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kesan projek itu ke atas alam sekitar dan kualiti hidup komuniti sekitar.

Menurut laporan Harian Metro, penduduk Kampung Sepakat, Norma Surip, 45, berkata keputusan kerajaan negeri itu memberi kelegaan besar kepada penduduk kampung yang sebelum ini bimbang projek berkenaan akan menjejaskan kualiti hidup serta persekitaran mereka.

“Sejak awal lagi kami menyuarakan kebimbangan kerana kawasan ini berhampiran penempatan penduduk dan sumber air.

“Apabila dimaklumkan projek ini dibatalkan dan ditangguhkan sementara cari lokasi lain, kami rasa sangat lega.

“Ini menunjukkan suara penduduk didengar dan kerajaan negeri mengambil kira kesejahteraan orang kampung, bukan hanya pembangunan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Rantau Panjang, Ipi Kamaluddin, 40, berkata penduduk bersyukur dengan keputusan berkenaan kerana ia dapat mengelakkan sebarang kesan jangka panjang terhadap alam sekitar dan nilai hartanah di kawasan terbabit.

“Kami bukan menolak pembangunan, tetapi projek ternakan babi ini tidak sesuai di kawasan yang dekat dengan kampung.

“Kalau diteruskan, kami bimbang soal pencemaran, bau dan juga nilai rumah penduduk boleh jatuh.

“Jadi apabila kerajaan negeri menangguhkan dan membatalkan projek ini buat sementara waktu, kami anggap ia satu keputusan yang adil dan wajar,” katanya.

Ipi turut berharap sebarang cadangan projek pada masa hadapan melibatkan perbincangan awal dengan penduduk setempat supaya keputusan yang dibuat dapat diterima semua pihak secara harmoni.

Semalam, media melaporkan projek ternakan babi di Bukit Tagar dibatalkan dan ditangguhkan sementara sehingga lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai ditemui.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu selepas Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim memaklumkan terdapat bantahan keras terhadap projek berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berbincang dengan Amirudin bagi mencadangkan supaya projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu.

Perdana Menteri berkata, Kabinet berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan terbabit perlu diberi perhatian serius.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13812

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *