KUALA LUMPUR 27 Jan – Keupayaan negara menangani jenayah penipuan menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak RM34 juta wang hasil aktiviti scam berjaya diselamatkan sepanjang tahun lalu, jauh lebih tinggi berbanding RM508,479.39 yang direkodkan pada 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian itu didorong oleh pengoperasian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) secara 24 jam, berbanding sebelum ini yang hanya beroperasi pada waktu pejabat, selain penambahan perjawatan di pusat berkenaan.
“Wang yang kita selamatkan ini menggunakan Subseksyen 424A, B dan C, Kanun Keseksaaan dan wang ini dia tak berpindah secara berlapis.
“Secara keseluruhannya, mengikut data yang kita kumpul daripada aduan mangsa, kita merekodkan sejumlah RM542 juta kerugian daripada aktiviti scam ini sepanjang tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah individu yang telah didakwa dan disabitkan di bawah Kanun Keseksaaan Subseksyen 424A hingga 424D yang baharu, khusus bagi memerangi penggunaan akaun keldai dalam aktiviti penipuan, serta bilangan mangsa yang berjaya mendapatkan semula wang mereka.
Menurut Saifuddin Nasution, bagi Subseksyen 424A, setakat ini sebanyak 51 kes telah dilaporkan, dengan 20 kes sudah dituduh di mahkamah, manakala tiga kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
“Di bawah 424B ada satu, statusnya masih disiasat, 424C ada 10, semuanya masih status dalam siasatan, 424D tiada laporan dan tiada kes yang disiasat,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan profil kes penipuan yang direkodkan kementeriannya, golongan pekerja swasta, kakitangan awam, pesara, pelajar dan ahli perniagaan antara yang paling ramai menjadi mangsa.
Katanya, penipuan berkenaan melibatkan pelbagai bentuk jenayah kewangan termasuk love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud serta jenayah telekomunikasi.
Saifuddin Nasution berkata, kerajaan melalui kementerian berkaitan juga sentiasa menjalinkan kerjasama dan mengadakan sesi libat urus dengan rakan negara ASEAN bagi mencari kaedah terbaik menangani kes penipuan secara berkesan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13817

Leave a Reply