‘Saya akan laksanakan’ – Rushdi akur syarat Nora

SHAH ALAM – Suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, Dr. Rushdi Ramli bersyukur isterinya menarik balik permohonan cerai dan mengharapkan yang terbaik dalam mahligai mereka.

Rushdi, 60, juga berjanji akan bertanggungjawab atas syarat yang dimohon isteri dan akan melaksanakan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT. Sebenarnya saya tak tahu nak komen banyak-banyak.

“Apa pun, itulah yang saya harapkan. Saya harapkan yang terbaik.

“Alhamdulillah. Nora bersedia untuk menarik balik kes ini dan insya-Allah saya akan melaksanakan syarat-syarat yang disebutkan,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.

Katanya lagi, dia akan lebih bertegas supaya tiada lagi konflik yang berlaku melibatkan hubungannya dengan Nora.

“Kita kena berusaha dan mengambil langkah yang sepatutnya. Sebenarnya, sebagai suami, kita adalah ketua keluarga, bukan orang lain.

“Jadi selepas ini saya akan lebih bertegas. Insya-Allah, sebenarnya selama ini pun saya sudah bertegas, cuma mungkin selepas ini perlu lebih tegas lagi dan menjelaskan bahawa saya tidak mahu ada sebarang gangguan daripada sesiapa pun.

“Itu adalah tuntutan agama dan perintah Allah SWT,” katanya lagi.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah meluluskan penarikan balik permohonan tuntutan perceraian yang difailkan pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin.

Hakim syarie, Ahmad Faizul Ashar membuat keputusan itu selepas pemohonan dibuat oleh Nora hari ini.

Pada 21 April tahun lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus pelbagai konflik susulan hantaran Instagram yang memaparkan video lafaz cerai Rushdi terhadapnya.

Selepas sebulan mengumumkan perceraian, Nora bagaimanapun memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.

Sebelum ini, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya pada 2021. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/27/saya-akan-laksanakan-rushdi-akur-syarat-syarat-nora/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *