Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegur amalan gurauan berunsur lucah dan ‘double meaning’ yang disifatkan boleh menjatuhkan maruah serta menormalisasikan dosa dalam masyarakat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, JAKIM menegaskan bahawa perkataan dan tingkah laku yang bersifat seksual, walaupun atas alasan bergurau, tetap memberi kesan buruk terhadap jiwa dan kehormatan individu, khususnya apabila disaksikan oleh khalayak ramai di platform digital.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan susulan tular satu video memaparkan seorang usahawan terkenal yang didakwa melontarkan gurauan berunsur seksual terhadap seorang pempengaruh wanita ketika sesi siaran langsung, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Menurut JAKIM, Islam jelas menuntut umatnya menjaga lisan dan adab, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 53 yang menyeru hamba-Nya agar mengucapkan perkataan yang baik, selain hadis Nabi Muhammad SAW yang menegaskan agar berkata baik atau diam.
JAKIM turut mengingatkan bahawa kelakuan tidak diingini bersifat seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau visual, boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual di bawah Akta Anti Gangguan Seksual 2022, walaupun mangsa tidak menunjukkan reaksi marah atau bantahan secara terbuka.
“Diam, senyum atau ketawa bukan tanda reda. Dalam psikologi, ia dikenali sebagai ‘freeze response’ iaitu reaksi trauma apabila seseorang berasa terancam,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JAKIM menyeru orang ramai, khususnya pempengaruh dan individu berpengaruh di media sosial, agar lebih bertanggungjawab dalam pertuturan dan tingkah laku kerana setiap kandungan yang disiarkan membentuk budaya serta nilai masyarakat.
“Viral bukan lesen untuk dosa. Influencer adalah amanah, bukan tiket untuk bercakap sesuka hati,” tegas kenyataan berkenaan sambil menggesa masyarakat menegur perbuatan tidak wajar agar dapat diperbetulkan segera.
🔗 Source: https://thereporter.my/jakim-tegur-gurauan-double-meaning/

Leave a Reply