Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diletakkan di belakang sebuah bank berhampiran Jalan Tunku Hassan, Seremban, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira jam 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan jenis Proton Saga berwarna putih oleh ibunya sejak jam 8 pagi dan hanya disedari kira-kira jam 5 petang selepas wanita berkenaan selesai waktu bekerja.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sebelum dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
🔗 Source: https://thereporter.my/kanak-kanak-dua-tahun-ditemui-maut-ditinggalkan-dalam-kereta/

Leave a Reply