Bekas Ketua Perisikan Pertahanan ATM didakwa terima suapan AS$20,000, RM64,000 beli tiket penerbangan untuk isteri

KUALA LUMPUR 29 Jan – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan melibatkan wang asing dan ringgit bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, dua tahun lalu.

Mohd Razali, 60, tiba di mahkamah pada jam 8.35 pagi dengan memakai sut lengkap berwarna coklat, namun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Razali didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45, di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak di sini, antara Ogos hingga November 2024.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan bagi tujuan pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Terdahulu, Mohd Razali diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki lobi mahkamah pada jam 8.34 pagi sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.

Pada 22 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk akan didakwa atas pertuduhan rasuah pada minggu ini.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13856

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *