KUALA LUMPUR 29 Jan – Kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara hanya dapat diperkukuh menerusi tadbir urus yang berintegriti, berakauntabiliti serta pelaksanaan tugas secara profesional di semua peringkat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, pembinaan keyakinan awam tidak boleh bergantung kepada slogan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan terhadap nilai integriti dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran serta operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Anwar, dalam berdepan cabaran semasa termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang berpotensi mencalar imej institusi pertahanan, sebarang pelanggaran amanah tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani dengan ketelusan serta kejujuran.
“Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, disamping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, bagi membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13869

Leave a Reply