Kos bina bilik darjah boleh cecah sehingga RM520,000, naik hampir sekali ganda dalam tempoh lima tahun – Fadhlina

KUALA LUMPUR 29 Jan – Kos pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan anggaran kos bagi tempoh lima tahun terkini meningkat sehingga sekali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.

Peningkatan kos itu berdasarkan dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) yang disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

ATDA adalah satu penilaian yang dilakukan terhadap keseluruhan tender seperti kos, aktiviti kerja dari permulaan sehingga siap.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata berdasarkan ATDA dikeluarkan JKR, kos pembinaan sebuah bilik darjah antara 2016 hingga 2020 dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala kos bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.

Anggaran ini, katanya hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.

“Nilai anggaran di atas masih belum mengambil kira kos keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu yang merangkumi kerja-kerja awalan, kerja tanah dan pembangunan infrastruktur lengkap, serta pembayaran fi profesional dan caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, kos lain seperti pembinaan blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan, dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan yang ditetapkan turut perlu diambil kira dalam pengiraan kos keseluruhan,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai perincian metrik kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, bandar atau luar bandar serta negeri bagi setiap tahun dari 2015 hingga 2025.

Tambah Fadhlina, kos projek boleh meningkat apabila melibatkan keperluan logistik, kerja tanah, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada PBT serta perolehan perabot dan kelengkapan.

“Justeru, di beberapa kawasan akan berlaku peningkatan kos berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan JKR,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan tempoh pelaksanaan projek sekolah, Fadhlina berkata fasa prabina dari kelulusan hingga keluarnya Surat Setuju Terima (SST) bergantung kaedah pelaksanaan dan keperluan pelaksanaan pengurusan nilai berdasarkan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bil 1/2024.

Semasa fasa pembinaan pula, katanya tempoh masa diambil untuk projek disiapkan adalah berdasarkan ketetapan dalam Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025.

“Sebagai contoh, untuk kos projek yang melebihi RM25 juta, tempoh pembinaan projek yang ditetapkan adalah 36 bulan.

“Bagaimanapun, tempoh ini bersifat dinamik, iaitu boleh berubah berdasarkan kekangan sedia ada di tapak bina. Seterusnya, apabila projek siap, sekolah akan mula beroperasi setelah perabot dan peralatan disediakan serta urusan pentadbiran diselesaikan,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13854

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *