Sejak dibuka pada 6 Januari lalu, Restoran Rembayung menarik perhatian ramai yang ingin mencuba pengalaman makan di lokasi popular ini. Walaupun ada yang berjaya mendapatkan slot tempahan, masih ramai yang ‘bertarung’ untuk mendapat peluang masuk kerana jumlah pelanggan yang diterima adalah terhad.
Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, menegaskan bahawa restoran ini hanya beroperasi melalui sistem tempahan dan tidak membenarkan walk-in, termasuk untuk golongan VVIP. Peraturan ini juga diambil untuk memastikan pengurusan pelanggan berjalan lancar, memandangkan kapasiti restoran hanya mampu menampung sekitar 200 orang pada satu-satu masa.
Dalam satu rakaman video siaran langsung di TikTok, Khairul Aming menjelaskan bahawa orang politik tidak dibenarkan untuk masuk secara walk-in ke restoran berkenaan. Beliau berkata, walaupun kelihatan ada orang politik hadir, jika mereka datang bersama orang kanan, orang bawahan atau PA mereka yang membuat tempahan, perkara itu tidak boleh dikawal kerana ia adalah hak mereka untuk hadir dengan tempahan.
“Orang politik nak walk in boleh ke? Tak boleh. Kalau korang nampak ada politik masuk sekalipun, kalau orang kanan dia, orang bawahan dia, PA dia booking, yang tu saya tak boleh kawal. Yang tu saya tak boleh kawal sebab itu hak dia untuk datang dengan ada reservation,” katanya.
Namun, bagi sesiapa yang ingin datang tanpa tempahan, Khairul Aming menegaskan ia tidak akan dibenarkan. Beliau juga menyatakan bahawa beliau telah memaklumkan perkara ini kepada staf bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan.
Menurut beliau, untuk berlaku adil bukan sesuatu yang mudah dan kadangkala keputusan ini boleh dilihat sebagai kejam, tidak berhati perut atau sombong, tetapi itulah harga bagi menegakkan keadilan.
“Saya nak berlaku adil. Dan nak berlaku adil bukan mudah. Kita akan nampak kejam, kita akan nampak tak berhati perut, kita akan nampak sombong. Tapi itulah harga sebuah keadilan lah, bukan mudah,”jelasnya.
Tindakan Khairul Aming itu telah meraih pujian ramai, dengan ramai yang menyifatkan beliau sebagai seorang usahawan yang menitikberatkan keadilan dalam semua aspek pengurusan restoran.
🔗 Source: https://thereporter.my/orang-politik-pun-tak-boleh-walk-in-di-rembayung-khairul-aming/

Leave a Reply