Seorang pelakon lelaki dilaporkan ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah, sekali gus mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan peminat dunia hiburan.
Difahamkan, individu terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu, sebelum perintah tahanan reman selama tiga hari dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Memetik laporan Utusan,penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas keputusan ujian saringan air kencing terhadap pelakon berkenaan didapati positif bahan terlarang.
Pelakon tersebut dipercayai ditahan oleh pihak berkuasa sebelum dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman untuk melengkapkan siasatan lanjut.
Individu berkenaan juga dikatakan pernah terpalit dengan kes berkaitan dadah sebelum ini. Dalam kes terdahulu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya dilaporkan menjatuhkan hukuman terhadap individu berkenaan selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis THC.
Namun begitu, pelakon terbabit terlepas daripada hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan membenarkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dikenakan.
🔗 Source: https://thereporter.my/pelakon-lelaki-ditahan-reman-terpalit-kes-bahan-terlarang/

Leave a Reply