NEW DELHI – Sebuah pesawat membawa seorang timbalan menteri di India terhempas ketika mendarat, menyebabkan semua penumpang dan juruterbang terbunuh, lapor agensi berita United Press International semalam.
Timbalan Ketua Menteri negeri Maharashtra, Ajit Pawar adalah antara yang maut di samping dua kru dan dua kakitangan kerajaan lain termasuk seorang pegawai keselamatan.
Pesawat Learjet 45 dikendalikan syarikat VSR Airlines itu terhempas kira-kira pukul 8.44 pagi (waktu tempatan) semalam di Landasan 11, Lapangan Terbang Baramati, Maharashtra, demikian menurut Kementerian Penerbangan Awam dalam satu kenyataan.
Laporan kawalan trafik udara menyatakan bahawa selepas gagal melihat landasan pada pendekatan awal, jet itu yang berlepas dari Mumbai ke Baramati itu diminta untuk membuat percubaan mendarat kali kedua.
Pada pendekatan kedua, selepas juruterbang mengesahkan landasan sudah kelihatan, menara kawalan trafik memberi kebenaran pesawat untuk mendarat. Bagaimanapun, menara kawalan tidak menerima maklum balas.
Perkara seterusnya yang dilihat menara kawalan adalah api di sekitar Landasan 11, demikian menurut laporan itu.
“Perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi nahas dengan bangkai pesawat berada di sebelah kiri landasan,” tambahnya.
Menurut Kementerian Penerbangan Awam, pesawat itu kali terakhir menjalani audit oleh Direktorat Jeneral Penerbangan Awam pada Februari tahun lepas tanpa sebarang masalah dilaporkan.
Juruterbang pula mempunyai masa penerbangan lebih 15,000 jam, manakala pembantu juruterbang pula telah terbang lebih 1,500 jam. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/29/pesawat-bawa-menteri-terhempas/

Leave a Reply